Saturday, February 21, 2009

Nilai & Pengajaran

Nilai Murni Dan Pengajaran “Pertarungan Tuah Dengan Jebat”


Terdapat pelbagai nilai murni dan pengajaran yang dikesan secara tersurat dan tersirat melalui cerita ini.Dalam hal ini terdapat empat nilai murni dan tiga pengajaran yang boleh dijadikan iktibar.


~Nilai Murni

Nilai murni yang pertama ialah kasih sayang. Hang Jebat memperlihatkan kasih sayang terhadap sahabatnya Hang Tuah dengan menuntut bela atas kematian sahabatnya itu. Rasa kasih Bendahara terhadap Hang Tuah pahlawan yang setia itu membuatnya tidak menunaikan perintah raja supaya membunuh Hang Tuah.

Nilai murni yang kedua ialah taat setia. Hang Tuah sangat setia kepada raja. Dia juga sangat mentaati perintah raja agar membunuh Hang Jebat yang merupakan sahabat karibnya yang telah menderhaka kerana menuntut bela atas kematiannya.

Nilai murni yang ketiga ialah kerjasama. Tindakan Hang Tuah untuk membunuh Hang Jebat disokong oleh rakyat jelata. Hang Tuah dan rakyat jelata bekerjasama untuk meruduk kaki Hang Jebat dari bawah istana.

Akhir sekali nilai murni yang keempat rasa tanggungjawab seorang pemimpin. Sultan Melaka mempunyai sikap tanggungjawab untuk mengembalikan keamanan negeri Melaka seperti sedia kala. Oleh itu baginda memerintahkan Hang Tuah agar membunuh Hang Jebat yang telah menderhaka serta mendatangkan huru-hara itu.


~Pengajaran

Pengajaran yang pertama ialah hendaklah menyiasat terlebih dahulu akan sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh seseorang sebagai seoarang pemerintah. Menjatuhkan hukuman dengan sewenang-wenangnya mungkin akan mengakibatkan perkara buruk berlaku. Contohnya, Hang Jebat bermaharajalela kerana tidak puas hati dengan tindakan sultan yang tidak adil, iaitu menjatuhkan hukuman bunuh terhadap sahabatnya tanpa usul periksa.

Pengajaran yang kedua ialah tidak bertindak secara terburu-buru.Perbuatan seperti itu mungkin akan merugikan diri sendiri atau memudaratkan orang lain.Contohnya, Hang Jebat yang bertindak terburu-buru bagi menuntut bela atas kematian sahabatnya telah mengakibatkan banyak rakyat terbunuh dan negeri menjadi huru-hara.

Pengajaran yang terakhir sekali, sebagai seorang rakyat kita hendaklah taat kepada pemerintah demi kesejahteraan negara. Kita patut mentaati pemerintah selagi pemerintah tidak bertindak kejam dan tidak membelakangkan agama.

No comments: